Tak sangka jadi juara pertandingan esei
KUALA SELANGOR – “Saya hampir patah semangat nak datang sebab kereta rosak tapi rupa-rupanya bawa hikmah yang tak disangka,” demikian kata Lans Koperal (PA) Nurul Ain Nordin.
Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor itu tidak menyangka menjadi juara dalam pertandingan esei yang julung kali disertai sekali gus mewakili Selangor.
Menurutnya, dia bersama rakan setugas dalam perjalanan untuk menghadiri Hari Anugerah Inovasi Pertahanan Awam 2019, kelmarin sebelum insiden keretanya rosak.
“Saya hampir-hampir tak jadi nak teruskan perjalanan, tapi atas nasihat sahabat, kami tetap meneruskan perjalanan ke lokasi walaupun lewat.
“Tapi tak sangka satu hikmah yang besar buat diri saya apabila menang dalam pertandingan itu. Walaupun pertama kali sertai, saya bangga dapat naikkan APM Daerah Kuala Selangor,” katanya.
Nurul Ain berkata, penyertaan pertandingan esei itu adalah percubaan pertamanya dan mengakui persaingan cukup hebat lebih-lebih disertai pegawai dan anggota lebih berpengalaman.
“Alhamdulillah, memang saya tak sangka langsung dapat jadi johan dalam pertandingan ini dan bawa wang tunai RM1,000 beserta piala.
“Saya manfaatkan pengalaman dalam bidang penulisan media untuk mengarang esei dengan tajuk 'Inovasi APM Pemacu Kejayaan Negara' yang saya menekankan kelebihan inovasi bagi melaksanakan sesebuah operasi.
“Inovasi berkaitan aspek kebendaan dan keperluan penting bagi melaksanakan sesebuah operasi, apatah lagi APM kini semakin dikenali ramai dengan segala macam operasi, bencana mahupun aset dan logistik sendiri,” katanya.
Katanya, dia turut mendedikasikan kemenangan itu kepada seluruh pegawai dan anggota APM Negeri Selangor, rakan dan ahli keluarganya yang banyak memberi sokongan dan dorongan.
Dalam majlis sama, Leftenan Muda (APM) Fyian Shaufiq Sulaiman dari APM Daerah Sabak Bernam turut menjuarai pertandingan pidato sekali gus mengharumkan nama Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!