'Empat hari terperangkap, terpaksa minum air kencing'

Adnan Muhammed Korkut berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat. - Foto/Video AP
Adnan Muhammed Korkut berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat. - Foto/Video AP
A
A
A

"SAYA minum air kencing sendiri..."

Itu pengalaman yang terpaksa dilalui oleh salah seorang mangsa gempa bumi yang terperangkap di bawah runtuhan di bandar Gaziantep, Turkiye sejak 94 jam lalu.

Mangsa, Adnan Muhammed Korkut, 17, berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat.

Remaja itu berkata, dia terselamat kerana meminum air kencingnya sendiri sepanjang empat hari berada di bawah runtuhan berkenaan sementara menunggu bantuan.

Berkongsi detik sukar itu, Adnan menambah dia terperangkap di tingkat bawah tanah sebuah bangunan tetapi mempunyai ruang untuk bergerak.

Wartawan: Kamu dalam keadaan okay?

Adnan: Saya okay.

Wartawan: Bagaimana kamu terselamat?

Adnan: Saya pergi ke tandas dan saya minum air kencing sendiri. Saya dapat bertahan kerana cara itu, terima kasih kepada Tuhan.

Wartawan: Apa perasaan kamu di bawah tanah?

Adnan: Saya hanya menanti kamu semua untuk tiba, sendirian. Alhamdulillah kerana anda tiba... terima kasih kepada semua.

Jelas remaja itu lagi, dia berasa cemas ketika pasukan SAR menggunakan jengkaut untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun, pekerja kemudian menghentikan penggalian selepas mendengar pergerakannya.

Sementara itu, seorang anggota SAR, Yasemin, berkata dia tidak tidur dan berusaha menyelamat Adnan sejak empat hari lalu.

"Saya mempunyai seorang anak lelaki seperti anda," katanya kepadanya sambil memeluk anak itu semasa dia berbaring di atas pengusung.

"Saya bersumpah dengan awak, saya sudah empat hari tidak tidur. Saya bersumpah saya tidak tidur, saya cuba untuk mengeluarkan awak. Saya sangat sayangkan awak," ujar Yasemin seperti dilapor AP.

Isnin lalu, gempa bumi melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi waktu tempatan, diikuti dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep.

Setakat ini dilaporkan kejadian itu meragut lebih 21,000 nyawa di Turkiye dan Syria. - Awani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!