Langkah kurang beban tanpa keluar KWSP diumum pada Belanjawan 2023

Rafizi - Foto Awani
Rafizi - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah yang lebih sesuai untuk mengurangkan beban hidup rakyat tanpa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 tidak lama lagi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, perkara itu termasuk peluang menjana pendapatan tambahan kepada golongan B40.

"Ada beberapa (langkah) yang akan diumumkan. Dalam masa terdekat kita menunggu pengumuman belanjawan sebab kita tidak boleh nak umum dahulu sehingga belanjawan itu diumumkan. Ini termasuk contohnya membuka peluang kepada golongan B40 ke bawah untuk menjana pendapatan tambahan.

"Pada masa sama, melalui kajian separuh penggal RMK12 yang sedang berlaku sekarang, kita mula melihat kepada dasar-dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji kerana ia tidak boleh melihat kepada kos sara hidup semata, tetapi kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua ke lima tahun akan datang untuk memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran.

"Jadi di peringkat kami, cuma jangka sederhana dan panjang," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Jelasnya, simpanan KWSP itu adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!