Malaysia tidak terjerumus dalam kemelesetan ekonomi

Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini disebabkan oleh beberapa faktor positif.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini disebabkan oleh beberapa faktor positif.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos berkata, Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini disebabkan oleh beberapa faktor positif.

Jelas beliau, antara faktor tersebut adalah disebabkan oleh pengukuhan dalam permintaan domestik, peluang pekerjaan dan pelaburan.

"Pertama, ekonomi global masih tumbuh. Kita tidak menyaksikan kemelesetan global. Malah, jika lihat kepada unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mereka meningkatkan unjuran pertumbuhan.

"(Unjuran tersebut) bukan hanya untuk tahun lalu, malah tahun ini.

"Apa yang lebih penting, kita akan menyaksikan pemulihan dalam pasaran buruh dan berterusan berkembang dan pendapatan akan terus meningkat," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata angka dalam pelaburan swasta mahupun awam turut berada pada tahap yang memberangsangkan.

"Kita mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi, jadi kehendak pelaburan adalah tinggi.

"Jadi pelaksanaan kepada pelaburan ini akan terus menyokong pertumbuhan.

"Pelancongan juga akan bertambah baik. Anda akan lihat pemulihan berbentuk-V dalam pelancongan.

"Itu juga menyokong pertumbuhan. Semua faktor ini sudah cukup baik untuk mengenepikan eksport perlahan yang wujud disebabkan pertumbuhan global yang perlahan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pengumuman Prestasi Ekonomi Malaysia bagi suku keempat di Sasana Kijang di sini pada Jumaat - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!