Kerajaan akan mulakan kembali platform Pemudah - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memulakan kembali platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) bagi menyelesaikan proses dan prosedur di peringkat kerajaan, sekali gus mempercepatkan urusan perniagaan serta industri.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, platform yang diwujudkan sejak 15 tahun lalu itu akan dipengerusikan bersama oleh beliau dan Ketua Setiausaha Negara.

Usaha itu juga katanya dalam memastikan Malaysia sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan.

"Dengan cara ini, dengan platform Pemudah yang akan dipengerusikan bersama oleh saya sebagai Menteri Ekonomi Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mewakili pentadbiran kerajaan.

"Harapan kami ini agar mempercepatkan lagi usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan pasaran yang mesra perniagaan kerana kebolehsenangan melakukan perniagaan itu kepada pelabur dan perniagaan," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini pada Jumaat.

Ujarnya, struktur dan platform Pemudah itu sudah ada dan hanya memerlukan penyelarasan di peringkat kerajaan.

"Struktur dan platform pemudah itu sudah ada, jadi kita akan bawa kembali dan selaraskan tetapi proses itu akan berlaku di peringkat kerajaan," ujarnya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!