Sesi soal jawab PM di Parlimen dilaksanakan setiap minggu

Armizan ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerjanya ke Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, Papar.
Armizan ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerjanya ke Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, Papar.
A
A
A

PAPAR - Kabinet bersetuju untuk menetapkan setiap minggu pada hari Selasa untuk ahli Parlimen mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri manakala Khamis pula untuk dikemukakan kepada Menteri pada sesi sidang Parlimen akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah diamanahkan untuk bertanggungjawab untuk urusan perjalanan aturan mesyuarat di Parlimen.

Katanya, untuk persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 13 Februari sehingga 30 Mac dan persidangan Dewan Negara pada 21 Februari hingga 6 April nanti akan ada pembaharuan yang telah diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

"Kabinet telah bersetuju supaya 'Prime Minister Question Time' (PMQT) dan juga 'Minister Question Time' akan dilaksanakan iaitu pada setiap hari Selasa setiap minggu jam 10 pagi hingga 10.30 pagi akan ada sesi PMQT di mana pada hari itu, Perdana Menteri sendiri dalam tempoh 30 minit akan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen.

"Bagi hari Khamis pula ditetapkan untuk menteri menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen daripada jam 10 pagi hingga 10.30 pagi," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini pada Jumaat.

Beliau melihat bahawa penambahbaikan itu sebagai usaha untuk menzahirkan keterbukaan dan ketelusan selain menjunjung semangat demokrasi itu sendiri.

"Ini juga melibatkan komitmen Perdana Menteri sendiri bahawa beliau menyatakan sendiri bahawa setiap minggu pada Selasa akan hadir untuk PMQT tersebut bermula hari Selasa yang akan datang.

"Ini antara penambahbaikan yang kita laksanakan yang sebenarnya sudah wujud dalam 'standing order' namun tidak dilaksanakan sedemikian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!