Kerajaan kaji kaedah kawal selia jualan tiket penerbangan
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji kaedah mengawal selia jualan tiket penerbangan bagi memastikan penjualan tiket itu dapat memanfaatkan semua pihak termasuk syarikat penerbangan dan agensi pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementerian itu akan mencari solusi terbaik supaya penjualan tiket penerbangan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak sekali gus mengatasi isu 'memborong' tiket.
"Sudah tentu kita telah lakukan pelbagai perbincangan dan kita akan cuba untuk mengawal selia isu tiket penerbangan ini, termasuklah yang melibatkan umrah dan sebagainya. Kerana ada syarikat penerbangan yang terima ‘tempat duduk’ manakala ada syarikat lain pula tidak menerimanya.
Ini menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak. Jadi kita akan mencari solusi dan penyelesaian terbaik bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran "AirAsia 5 Million Free Seats Campaign” di sini hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan baharu berhubung dakwaan membabitkan isu penjualan tiket penerbangan umrah kepada agensi luar negara, Tiong berkata, perkara itu akan dimaklumkan oleh timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan kelak.
Katanya, Khairul akan membantunya menguruskan isu berhubung penjualan tiket umrah itu dan siasatan lanjut akan dilakukan pada minggu hadapan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan terdapat beberapa syarikat umrah tempatan yang 'memborong' tiket penerbangan ke Tanah Suci dan didakwa syarikat terbabit turut menjualnya kepada agensi luar negara bagi mengaut keuntungan besar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!