BAMTC 2023: Malaysia ada peluang juara
PEMAIN beregu lelaki, Aaron Chia optimis Malaysia berpeluang besar menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlangsung dari 14 hingga 19 Februari ini.
Aaron berkata, Malaysia boleh meraih kejuaraan sulung pada BAMTC memandangkan skuad kali ini menampilkan barisan pemain kuat, antaranya jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia serta beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah.
"Sebelum ini menang acara beregu campuran pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, jadi kejayaan tersebut memberi motivasi tinggi kepada kami pada BAMTC," katanya kepada pemberita selepas hari terakhir kem latihan pusat menjelang BAMTC di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Malaysia yang bakal tampil selaku pilihan keempat kejohanan di Dubai diundi dalam Kumpulan B bersama-sama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah.
Dalam pada itu, Aaron berkata, dia sudah bersedia untuk digandingkan bersama mana-mana pemain beregu lelaki sama ada gandingan profesional Ong Yew Sin atau Teo Ee Yi pada BAMTC kali ini.
"Saya rasa sentiasa sedia kerana acara berpasukan siapa pun boleh turun bermain sebagai beregu," katanya.
Aaron sebelum ini pernah digandingkan bersama Teo Ee Yi ketika membawa cabaran negara dalam Piala Thomas bagi edisi 2022 dan 2018.
Pasangan Aaron, Soh Wooi Yik pula menegaskan, dia tidak akan memandang ringan gandingan India biarpun salah seorang pemain utama mereka, Satwiksairaj Rankireddy difahamkan digugurkan pada BAMTC kali ini akibat kecederaan.
"Cabaran memang ada kerana mereka akan gunakan scratch pair. Jadi, susah juga untuk nilai acara mereka kerana sekiranya bertemu, pasangan sedia ada kita sudah biasa," katanya.
Wooi Yik juga nekad untuk memberikan aksi terbaik bagi membantu pasukan negara mencapai sasaran sekurang-kurangnya ke separuh akhir seperti ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!