Kemalangan Genting Highlands: Tiga mangsa disemadi Ahad ini
BUKIT MERTAJAM - Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang pada Rabu lepas akan disemadikan di tiga lokasi berasingan di sekitar sini, Ahad ini.
Mayat tiga wanita itu Ang Meng Hoong, 62, kakaknya Lee Moy, 67, dan kakak ipar Meng Hoong, Wong Ah Mooi @ Wong Seh Mooi, 83, tiba di rumah mereka di Jalan 8, Perkampungan Machang Bubok pada kira-kira 4.30 pagi tadi (Jumaat).
Anak sulung Meng Hoong, Wong Yunn Wen, 42, berkata, mayat ibunya akan dibakar di Krematorium Berapit, di sini, manakala mayat ibu saudaranya Lee Moy pula akan disemadikan di tanah perkuburan di Machang Bubok, sementara seorang lagi ibu saudaranya Ah Moi pula akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Lembu.
"Ketika ini kami semua ahli keluarga sangat sedih dan paling terkesan ayah saya (Wong You Hook, 62), malam tadi dia langsung tak boleh tidur dan pagi ini baru tidur. Keadaan dia tak okay sekarang ini.
"Dia terlalu sedih dengan pemergian serentak ibu, kakak dan kakak iparnya... saya yang tinggal dan bekerja di Switzerland terus pulang sebaik dimaklumkan tentang kemalangan itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Machang Bubok, di sini pada Jumaat.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, adik lelakinya Wong Chia Hao, 41, yang tinggal bersama ibu bapa mereka menghubunginya sebaik mengetahui kemalangan menimpa ibu dan dua ibu saudara mereka pada Rabu.
Yunn Wen berkata, beliau yang sangat sedih dengan kemalangan yang meragut tiga "ibu" sekali gus, tidak dapat menahan tangis sepanjang perjalanan pulang dari Switzerland semalam (Khamis) dan tiba di Pulau Pinang awal pagi ini.
"Saya tinggal di Switzerland kerana bekerja di sebuah restoran di sana sejak empat bulan lepas. Walaupun jauh, saya selalu 'WhatsApp' dengan ibu dan kali terakhir, dia (ibu) beritahu saya bahawa dia sudah 'check-out' (mendaftar keluar dari hotel di Genting Highlands) dan dalam perjalanan pulang (ke Pulau Pinang), iaitu kira-kira dua jam sebelum kemalangan," katanya sambil menahan sebak.
Beliau berkata, dalam kemalangan itu ibunya mengalami kecederaan parah di dada dan jantung, manakala dua lagi ibu saudaranya cedera parah di kepala serta kaki sehingga meragut nyawa mereka.
Menurutnya, ibu dan dua ibu saudaranya memang suka bercuti di pusat peranginan dalam dan luar negara dan tidak disangka percutian tersebut merupakan yang terakhir bagi mereka.
Dalam pada itu, Lim Nyok Sin, 54, yang juga anak kepada seorang lagi mangsa tragedi itu iaitu Ah Mooi berkata, mereka sekeluarga sangat sedih dan terkesan dengan pemergian ibunya itu.
"Dia tidak pesan apa-apa kepada saya ketika mahu ke sana (Genting Highlands) cuma sebelum itu mak ada ajak saya sama namun saya tidak boleh ikut kerana bekerja di sebuah kedai kopi di sini. Tapi, masa hari dia nak pergi tu mak kelihatan sangat gembira," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!