Hanis Nadiah masih ada peluang

HANNAH YEOH
HANNAH YEOH
A
A
A

PELUANG buat pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn untuk menyarung jersi kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023 masih belum tertutup.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu harus mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Siasatan yang dibarisi oleh panel daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Hanis mungkin boleh kembali menyarung jersi kebangsaan selepas dikenakan hukuman penggantungan dan tidak dibenarkan beraksi pada Sukan SEA di Kemboja Mei depan.

"Ini adalah siasatan bersama MSN dan KHM. Jadi ini adalah hasil penemuan mereka dan cadangan keputusan pun diambil. Ini adalah keputusan mereka putuskan dan kita kena hormatinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hanis menjadi antara nadi penting skuad hoki wanita negara sejak beberapa tahun lalu. - FOTO: FB HOKITA
Hanis menjadi antara nadi penting skuad hoki wanita negara sejak beberapa tahun lalu. - FOTO: FB HOKITA

Pada Khamis, Jawatankuasa Siasatan MSN dan KHM mendapati Hanis memuat naik ciapan komen yang berbaur perkauman berhubung satu konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

"Sama ada hendak merayu ataupun tidak, dia (Hanis) boleh berjumpa dengan Datuk Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN) atau Datuk Seri Subahan Kamal (Presiden MHC).

"Tetapi itu adalah keputusan yang diumumkan semalam (Khamis) dalam kenyataan media yang dikeluarkan," jelas Hannah.

Untuk rekod, Hanis antara tonggak penting skuad hoki wanita kebangsaan sejak mula beraksi pada 2014 dengan berjaya menjaringkan 36 gol daripada 84 penampilan peringkat antarabangsa.

Hanis membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2015 dan 2017, selain berada dalam pasukan yang muncul juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Pertama) 2015, naib juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Kedua) 2017 dan juara FIH Siri Terbuka 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!