Kayuhan OCBC Kuala Lumpur kembali

Mahadi (tengah) bersama Syed Abdull Aziz (dua dari kiri) dan Naim (dua dari kanan).
Mahadi (tengah) bersama Syed Abdull Aziz (dua dari kiri) dan Naim (dua dari kanan).
A
A
A

KAYUHAN OCBC Kuala Lumpur yang popular dengan jolokan ‘The City Ride’ kembali menemui peminatnya pada 12 Mac depan selepas 'berehat' selama tiga tahun gara-gara pandemik Covid-19.

Kayuhan itu yang akan mempertandingkan dua kategori iaitu 42 dan 21 kilometer (km) akan merentasi beberapa jalan utama sekitar pusat bandar dengan acara pelepasan bakal bermula di Dataran Merdeka.

Turut dianjurkan adalah kategori baharu iaitu ‘The KL’s Mayor Ride’ sejauh 42km.

Bagi para peminat yang mahu menyertai kayuhan itu, pendaftaran masih dibuka sehingga 16 Februari 2023 dan ia terbuka kepada perserta berusia 18 tahun ke atas.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web www.ocbccyclekl.com dan setakat ini, sejak ia mula dibuka, jumlah peserta yang mendaftar kini sudah mencecah angka 2,000 orang.

Begitupun, bagi para peminat yang belum mendaftar, mereka masih boleh berbuat demikian kerana jumlah maksimum pendaftaran untuk kayuhan beramai-ramai di jalan-jalan tertutup sekitar pusat bandar raya ini adalah 2,500 peserta.

Empat jenis basikal (untuk kategori lelaki dan wanita) menanti para pemenang kayuhan ini iaitu mountain bike, road bike, folding bike dan juga fat bike.

Dalam kenyataan ringkasnya, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menjelaskan bahawa pihaknya berasa bangga kerana acara kayuhan berbasikal secara besar-besaran tunggal di bandar ini dapat dianjurkan semula.

Penganjurannya sudah pasti sangat dinanti-nantikan oleh para pelumba amatur dan baharu kerana acara ini membolehkan mereka berkayuh dalam suasana yang sangat selesa dan ikonik.

“Kayuhan OCBC Kuala Lumpur ini melengkapkan aktiviti OCBC KL Car Free Morning yang dianjurkan khusus buat para peminat yang gemarkan kayuhan santai. Kami berasa teruja kerana Kayuhan OCBC KL kembali dianjurkan tahun ini selepas tiga tahun berehat.

“Saya yakin ramai yang sudah tidak sabar untuk turut serta dalam acara ini yang akan berlangsung pada 12 Mac nanti. Ia terbukti kerana jumlah yang sudah mendaftar setakat ini sangat memberangsangkan.

“Ini merupakan satu-satunya kayuhan santai tanpa ada sebarang gangguan di jalan tertutup dengan jarak sejauh 21km. Ia membolehkan para peserta menikmati keindahan Kuala Lumpur sambal mengayuh basikal masing-masing dalam suasana yang tenang.

“Melalui aktiviti seperti ini, ia akan mendorong para peserta untuk melibatkan diri dalam sukan yang sihat, sekali gus meningkatkan daya kayakinan diri mereka.

“Saya juga berasa bangga kerana kategori sejauh 21km turut diperkenalkan buat para peserta tahun ini dan saya yakin ia akan memberi pengalaman baharu kepada mereka yang sudah terbiasa dengan laluan sejauh 7km seperti di OCBC KL Car Free Morning.

“Bagi para peserta yang lebih berpenglaman, mereka mungkin boleh memilih untuk menyertai kategori 42km melibatkan dua loop 21km.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa buat pertama kalinya satu kategori iaitu The KL Mayor’s Ride akan diperkenalkan tahun ini. Kayuhan berpasukan ini melibat 10 pelumba dalam satu pasukan akan beradu tenaga dalam kayuhan sejauh 42km.

“Kami mengalu-alukan penyertaan daripada sektor korporat dan syarikat-syarikat swasta untuk mengambil bahagian dalam The KL Maor’s Ride ini yang sasarannya memupuk semangat berpasukan serta gaya hidup sihat dalam kalangan peserta,” jelas Mahadi.

Sementara itu, Datuk Naim Mohamad mengingatkan para peserta yang berminat menyertai kategori baharu iaitu 21km dan juga 42km, hendaklah mendaftar segera sebelum tarikh tutup pendaftaran pada 16 Februari ini.

“Kami sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan laluan yang disediakan untuk kayuhan tahun ini lebih menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jadi, para peminat tidak harus melepaskan peluang untuk menyertai Kayuhan OCBC Kuala Lumpur ini,” jelas Naim.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Ekskutif OCBC Al-Amin, Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, penganjuran semula Kayuhan OCBC Kuala Lumpur adalah berdasar pengalaman luar biasa OCBC ketika menjadi penaja utama beberapa acara popular sejak 2015.

Malah katanya, OCBC pernah menjadi penaja untuk acara OCBC Cycle Malaysia pada tahun 2011 hingga 2013 dan juga terlibat dengan OCBC KL Car Free Morning pada 2014.

“Kami berasa seronok untuk kembali bersama masyarakat tempatan dalam acara kayuhan seperti ini dan saya tidak sabar untuk melihat para peserta beraksi dalam kategori 21 dan 42 km di Kayuhan OCBC Kuala Lumpur nanti termasuk yang beraksi dalam kategori The KL Mayor’s Ride.

“Kami berharap, menerusi aktiviti seperti ini kita dapat membentuk masyarakat dengan gaya hidup yang sihat. Kami juga berasa bangga kerana penganjuran Kayuhan OCBC Kuala Lumpur 2023 ini terus mengamalkan budaya mesra alam, sekali gus menjaga kebersihan persekitaran,” jelas Al-Amin.

Lebih menarik, acara tahun ini akan mengurangkan penggunaan bahan-bahan plastik termasuk peralatan yang akan digunakan oleh para peserta.

Penggunaan risalah kertas bagi menyalurkan maklumat kepada para perserta juga dikurangkan dan ia akan digantikan dengan papan kenyataan besar yang lengakp dengan segala informasi berkenaan acara ini.

Tong kitar semula akan disediakan di beberapa lokasi buat para peserta membuang segala sampah termasuk kulit pisang dan ia akan dihantar ke pusat pengkomposan.

Kayuhan ini yang dikendalikan oleh Multigreen Events, mendapat sokongan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia dan juga Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia. OCBC Bank (Malaysia) Berhad tampil selaku penaja utama.

Selain Kayuhan OCBC Kuala, turut tampil selaku rakan penaja adalah Great Eastern, KPJ, Decathlon, Thule, 100Plus, Nescafe, Milo, N8 Sports Nutrition, Gin Huat, Maxxis, Dahon, ES Mass, Maxtron, Elite Sports, Dynamique Sports Rehab Centre, Cat Eye, Minoura, Black Cat, Hutan Ration dan Kulsocs.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!