TNB, EGAT jalin kerjasama perkukuh TBB di rantau ASEAN
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) bagi mengukuhkan pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di rantau ASEAN.
Presidennya, Datuk Baharin Din berkata, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai dengan pemain tenaga utama di negara Gajah Putih itu bagi memanfaatkan setiap projek pelaburan dan pembangunan melibatkan projek tenaga tersebut.
“Dua anak syarikat TNB iaitu TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) menandatangani MoU masing-masing dengan Planet Utility Co Ltd (PU) dan B Grimm Power Public Co Ltd (B.Grimm).
“MoU TRe-PU adalah untuk meneroka potensi TBB dan peluang teknologi penjanaan di Thailand manakala MoU Genco-B.Grimm akan meneroka sebarang peluang untuk kerjasama, penyertaan dan pembangunan projek TBB di rantau ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bahari menambah, MoU yang dijalinkan dengan PU pula menyentuh penilaian pilihan strategik untuk pelaburan tenaga berkenaan di Thailand merangkumi teknologi solar terapung, solar atas bumbung dan ladang solar yang akan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan TRe dan pengembangan pasaran.
Beliau dalam kenyataan sama itu menzahirkan keyakinan yang kerjasama itu mempercepatkan cita-cita neutral karbon setiap syarikat rakan kongsi.
“Dengan unjuran Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA), lebih 60 peratus daripada penjanaan terpasang negara ASEAN pada 2050 adalah bersumberkan TBB, iaitu sekurang-kurangnya 1,500GW kapasiti penjanaan, yang mana TNB berharap dapat menyertainya, katanya.
Jelas beliau, memorandum tersebut pada masa yang sama bakal mewujudkan lebih banyak lagi peluang perniagaan di peringkat serantau.
“Kesalinghubungan grid Semenanjung-Thailand akan memudahkan integrasi TBB di rantau ASEAN dan meluaskan potensi perdagangan tenaga pelbagai hala serantau pada masa depan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!