Tekad politik penting tamat konflik di selatan Thailand - PM

Anwar pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Thailand hari ini. Foto Bernama
Anwar pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Thailand hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa tekad politik penting untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

Beliau berkata, ketika mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha telah menunjukkan isyarat positif dalam usaha membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand.

"Kerajaan Malaysia dan Thailand telah melakukan apa diperlukan untuk mewujudkan keamanan berkekalan di selatan Thailand.

Mereka (Kerajaan Thailand) sedia untuk bekerjasama dan menyelesaikan konflik ini. Mereka mempelawa kita sebagai fasilitator dan berbincang dengan kita. Ini satu petanda positif,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Thailand hari ini.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di selatan Thailand.

Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Ditanya bahawa terdapat cadangan bahawa Malaysia harus memainkan peranan sebagai orang tengah, Anwar berkata, Thailand dan Malaysia telah setuju bahawa Malaysia harus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand.

"Yang penting, kita harus ada tekad politik untuk menyelesaikannya (konflik di selatan),” katanya.

Ditanya mengenai rundingan damai yang sedang diadakan, Anwar mengakui ia akan mengambil masa dan tidak boleh diselesaikan dengan mengadakan satu atau dua mesyuarat sahaja.

"Jangan ingat satu atau dua mesyuarat sudah boleh selesai. Pelbagai perbincangan perlu diadakan dari peringkat tentera, polis dan perisikan dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Kalau ada kepantasan kita runding, tunjuk kesungguhan kita (menyelesaikan isu di selatan Thailand),” katanya.

Rundingan telah diadakan antara kerajaan dan kumpulan pemberontak sejak 2013, namun ia terhenti apabila tentera mengambil alih pentadbiran Thailand setahun kemudian. Perbincangan kemudiannya diteruskan tanpa penglibatan pihak utama, termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Jeneral Wanlop Rugsanoah mengetuai panel untuk dialog damai di wilayah paling selatan di Thailand (PEDP).

Sementara itu, Anwar berkata beliau berpuas hati dengan hasil lawatan rasminya ke Thailand yang telah menyentuh pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pelaburan.

Sepanjang lawatan dua hari itu, beliau telah mengadakan perbincangan dan pertemuan termasuk dengan rakan sejawatnya Prayuth Chan o-cha dan konglomerat, ahli perniagaan, komuniti Islam.

Beliau berkata soal ekonomi, pelaburan dan kerjasama dua hala turut dibincangkan.

"Bermula minggu depan terdapat rombongan akan datang melabur di Malaysia," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!