RNF MotoGP Racing Team tampil optimis

Razlan Razali
Razlan Razali
A
A
A

PASUKAN RNF MotoGP Racing Team tampil optimis untuk beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2023 dengan kehadiran dua pelumba baharunya Miguel Oliveira dan Raul Fernandez.

Bukan itu sahaja, pasukan itu turut muncul dengan jentera baharu selepas bertukar daripada Yamaha kepada Aprilia.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, skuad yang disifatkannya sebagai berwajah baharu itu akan memberi saingan bagi memperoleh keputusan terbaik selain mencabar podium musim 2023 ini.

“Tahun 2021 dan 2022 kita memang bergelut sikit sebab dalam musim 2022, kita punya pelumba, prestasi tak bagus, penaja utama tarik diri, jadi kita dalam masalah kewangan.

“Berwajah baharu, sasaran kita nak keputusan baik, dari pengalaman 2012 kita bermula dengan baik, kita naib juara 2020. Jadi tahun ini, saya memang nak keputusan. Kita nak melonjak supaya lebih berdaya saing, kalau boleh nak naik podium,” katanya kepada pemberita pada sesi Ujian Musim Sejuk 2023 MotoGP di Sepang pada Jumaat.

Ujian Musim Sejuk 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.

Menyentuh mengenai hari pertama ujian pramusim hari ini, Razlan berkata pelumbanya menampilkan aksi positif meskipun Oliveira hanya mengendalikan jentera itu buat kali kedua manakala Fernandez kali pertama.

Terdahulu, Oliveira berada di tangga ke-14 apabila merekodkan masa 1 minit 59.730 saat dalam pusingan ke-39 daripada 50 pusingan manakala Fernandez di tangga ke-15 dengan merekodkan masa 1:59.826s dalam pusingan ke-52 daripada 59 pusingan.

Oliveira, pelumba Portugal berusia 28 tahun telah mencatatkan lima kemenangan dalam 68 perlumbaan bagi kelas MotoGP selain berjaya menawan dua perlumbaan di Asia Tenggara musim lepas dengan memenangi Grand Prix Indonesia dan Thailand.

Fernandez pula adalah pelumba 'rookie' musim 2022 dengan mencatat 14 mata keseluruhan selain turut berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke-15 di Grand Prix Malaysia musim lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!