Nahas van persiaran: Seorang lagi meninggal dunia
KUANTAN - Seorang lagi mangsa nahas melibatkan sebuah van persiaran di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu meninggal dunia pada Jumaat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu, mangsa, Chew Chong Beh, 73, yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur meninggal dunia pada jam 1.46 tengah hari.
Menurutnya, perkembangan terkini itu menyaksikan lapan mangsa maut akibat kemalangan tersebut sehingga jam 6 petang Jumaat.
"Enam mangsa cedera iaitu empat menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, seorang di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan seorang lagi mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital.
"Saya dan seluruh warga polis Pahang ingin mengucapkan salam takziah kepada semua keluarga mangsa," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, van persiaran yang dinaiki 14 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands untuk pulang ke Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!