Status peruntukan ahli Parlimen pembangkang masih misteri

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen pembangkang sekali lagi mendesak kerajaan Persekutuan supaya memberi kepastian status peruntukan pembangunan kepada mereka yang disifatkan masih misteri.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam kalangan mereka masih tertanya-tanya sama ada akan menerima peruntukan yang sama atau tidak daripada Kerajaan Perpaduan.

“Perkara itu masih menjadi misteri sedangkan semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, kita memberikan kepada semua ahli Parlimen.

“Sebelum ini, saya pernah membuat kenyataan meminta Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya memberikan satu jaminan atau kepastian bahawa semua ahli Parlimen termasuk bukan daripada pihak kerajaan akan dapat peruntukan selaras dengan amalan kerajaan terdahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Anwar sebelum ini memaklumkan kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan tersebut daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta pada tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berpandangan, peruntukan tersebut tidak wajar dikurangkan bahkan perlu ditambah bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

“Misalnya di Parlimen Kota Bharu, pengundi sahaja sudah berjumlah 116,000 dan jika dikira dengan mereka yang belum layak mengundi atau berusia 18 tahun ke bawah mungkin lebih daripada 400,000 individu.

“Saya difahamkan ahli Parlimen daripada kerajaan pun meminta supaya jumlah diberikan lebih tinggi,” katanya.

Pada bulan lalu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pernah membangkitkan isu sama melibatkan negeri diterajui PN seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!