Enam kedai hangus di Kampung Gajah
PASIR SALAK- Enam kedai separa kekal hangus dengan tiga daripadanya musnah 90 peratus dalam kebakaran di Jalan Ulu Dedap, Taman Malinja, di sini pada Jumaat.
Kejadian itu melibatkan kedai menjual barangan runcit, perkakasan dan perabot.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.55 malam.
"Kedai pertama musnah 80 peratus manakala kedai kedua hingga keempat musnah 90 peratus, kedai kelima (60 peratus) dan kedai terakhir musnah 10 peratus.
"Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan aliran air daripada tangki jentera dan sumber pili bomba sehingga api berjaya padam sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut.
"Operasi yang berlangsung lebih enam jam itu melibatkan bantuan daripada BBP Teluk Intan, BBP Tapah dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Ayer Tawar serta PBS Pantai Remis.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!