Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh

Mehmet Yasar Coskun ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri selepas apartmen mewah yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi kuat Isnin lalu. - Foto Twitter Nexta_tv
Mehmet Yasar Coskun ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri selepas apartmen mewah yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi kuat Isnin lalu. - Foto Twitter Nexta_tv
A
A
A

ISTANBUL - Polis Turkiye pada Jumaat menahan seorang arkitek selepas apartmen mewah yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi kuat Isnin lalu.

Mehmet Yasar Coskun ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri dari negara itu ke Montenegro, lapor agensi berita negara Anadolu.

Dia juga didakwa membawa wang yang tidak diketahui jumlahnya ketika ditahan.

Ronesans Residence, sebuah blok apartmen mewah di bandar Antakya, tumbang dalam insiden gempa pada Isnin sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.

Ia merupakan antara apartmen paling eksklusif di pusat Antakya, menampilkan blok 12 tingkat seluas 10,500 meter persegi, dilengkapi 249 unit pangsapuri dengan antara dua dan lima bilik tidur setiap satu, kolam renang, gelanggang sukan, dan khidmat penyambut tetamu.

Ia turut diiklankan sebagai bangunan yang dibuat mengikut "standard pembinaan tertinggi."

Dianggarkan 1,000 penghuni mendiami apartmen itu ketika ia tumbang. Kebanyakannya masih terperangkap di bawah runtuhan gempa bumi yang kini telah menyebabkan lebih 23,000 maut.

Media Turkiye melaporkan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan blok dan usaha menyelamat masih diteruskan.

Bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana, Christian Atsu, bersama pengarah sukan kelab Hatayspor, Taner Savut dipercayai antara mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan blok bangunan 12 tingkat itu.

Turkiye memperkenalkan peraturan bangunan yang lebih ketat pada 2013 selepas gempa bumi pada 1999 di barat laut Turkiye mengorbankan lebih 17,000 orang.

Gegaran 7.8 magnitud dan gegaran susulan pada Isnin memusnahkan sebahagian besar tenggara Turkiye dan negara jiran Syria, mengorbankan hampir 23,000 orang.

Gempa bumi itu meranapkan ribuan bangunan dan telah mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh Turkiye berhubung kualiti pembinaan yang lemah. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!