Geng motor 'Player Cutoff' kecut nampak polis

Anggota BSPT IPD Kuantan melakukan pemeriksaan ke atas penunggang dan motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Tanjung Lumpur, Khamis lalu. - Foto Facebook Polis Trafik Kuantan.
Anggota BSPT IPD Kuantan melakukan pemeriksaan ke atas penunggang dan motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Tanjung Lumpur, Khamis lalu. - Foto Facebook Polis Trafik Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Sekumpulan remaja bermotosikal dikenali sebagai 'Player Cutoff' (CPO) yang sedang berkumpul dalam aktiviti Kuantan Bersidang 2.0 di Jalan Tanjung Lumpur, di sini bertempiaran lari dengan motosikal sejurus melihat kehadiran anggota polis, tengah malam Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menjalankan Op Samseng Jalanan selepas menerima maklumat bahawa aktiviti tersebut melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, operasi bermula jam 11 malam itu melibatkan sepasukan anggota bersama pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

"Ketika diserbu, kumpulan terbabit bertindak melarikan diri mengelak diperiksa dan kejadian itu dirakam serta ditularkan seorang pengguna aplikasi Tiktok.

"Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Anggota melakukan pemeriksaan ke atas penunggang dan motosikal yang ditahan. - Foto Facebook Polis Trafik Kuantan.
Anggota melakukan pemeriksaan ke atas penunggang dan motosikal yang ditahan. - Foto Facebook Polis Trafik Kuantan.

Wan Mohd Zahari berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan 21 motosikal dan mengeluarkan 56 saman atas pelbagai kesalahan.

"Semua motosikal ditahan telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubah suai struktur kenderaan, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, penunggang tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan dari masa ke masa bagi membendung aktiviti samseng jalanan di daerah ini.

"Pengguna motosikal dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang memganggu gugat ketenteraman awam.

"Jangan ubah suai motosikal dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas semasa berada di atas jalan raya bagi mengelak kemalangan serta tindakan undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!