Sunway lancar 'Super App' pertama di Malaysia
SUNWAY melancarkan aplikasi gaya hidup serba lengkap dan baharu iaitu Sunway Super App edisi kedua Sunway Theme Parks Mega Roadshow dengan pemaparan pelbagai promosi dan pakej menarik.
Ketua Pegawai Maklumat Kumpulannya, Kevin Khoo berkata, aplikasi yang pertama di Malaysia itu menawarkan produk dan perkhidmatan pengguna daripada semua 13 badan perniagaan Sunway termasuk Sunway Theme Parks, Sunway Malls, Sunway Property, Sunway Hotels & Resort dan Sunway Healthcare.
Menurutnya, aplikasi berkenaan turut memberikan akses kepada lebih 1,500 rakan niaga Sunway dan peniaga runcit seperti Foodpanda, Grabmaid dan The Lorry.
“Direka khas dengan ciri-ciri tumpuan pengguna yang memberi pengalaman lancar di setiap titik sentuhan, aplikasi ini juga merupakan dompet digital bagi kemudahan transaksi tanpa tunai dan pembayaran secara pantas untuk tempat letak kereta pintar di seluruh pusat beli-belah dan premis Sunway.
“Di samping tawaran eksklusif aplikasi, program menarik dan ganjaran tanpa had, pengguna akan menikmati manfaat program kesetiaan Sunway iaitu Sunway Pals untuk menebus mata ganjaran dalam aplikasi atau melalui peniaga yang mengambil bahagian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kevin memberitahu, ia merupakan peristiwa penting bagi Sunway dalam meneruskan perjalanan transformasi digital syarikatnya.
“Ini sentiasa menjadi salah satu matlamat kami untuk menyediakan platform yang menawarkan akses mudah dan lancar dengan faedah ekosistem kami yang meluas kepada pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway, Calvin Ho berkata, pengguna Sunway Super App dapat mengakses tawaran eksklusif daripada Sunway Theme Parks, Sunway eMall, Sunway Multicare Pharmacy dan banyak lagi yang hanya tersedia di Sunway Theme Parks Mega Roadshow.
Tambahnya, pameran itu akan diadakan di beberapa lokasi pada tarikh berbeza di seluruh Malaysia bermula 9 Februari hingga 5 Mac 2023.
“Pakej menarik bagi Night Park juga menanti pengunjung, di mana anda bakal menyaksikan penampilan budaya barat dengan slogan “The Good, The Bad and The Wild”.
“Ini juga dijayakan dengan kerjasama lebih 50 jenama bagi memperkasakan perdagangan sosial melalui Super App milik Malaysia.
“Taman Tema Sunway sejak beberapa dekad yang lalu telah menawarkan hiburan bertaraf dunia dan menjadi mercu tanda utama untuk destinasi pelancongan di rantau ini,” kata beliau.
Menurut Calvin, Sunway Theme Parks Mega Roadshow bertujuan melibatkan pasaran pelancongan tempatan bersama-sama dengan rakan kongsi ejen pelancongan syarikat bagi mencari pasaran pakej percutian yang berpatutan dan destinasi berkualiti tinggi.
“Taman tema kami akan terus menjadi hab pelancongan di puncak tertinggi dalam bandar bersepadu Sunway,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!