Pemilihan UMNO: 'Saya sedia bertanding' - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Datuk Seri Ahmad Maslan bersedia bertanding pada pemilihan UMNO akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO itu tidak memperincikan jawatan yang akan ditandingi.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Pontian itu juga dilihat bersedia untuk mencabar bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

"Saya masih fikirkan jawatan mana yang akan ditandingi pada pemilihan UMNO nanti. Sesiapa yang hendak bertanding boleh menghantar borang sebelum jam 5 petang pada 26 Februari ini.

"Bagi mereka yang ingin bertanding bagi pelbagai jawatan boleh memuat turun borang di laman rasmi UMNO bermula semalam. Borang tersebut boleh dihantar bermula Isnin ini," katanya.

Beliau ditemui ketika sidang akhbar selepas merasmikan kejohanan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Ahmad Maslan antara nama yang disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Pada 3 Februari lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan mengesahkan akan mempertahan jawatannya.

Manakala Hasni pula menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada 4 Februari lalu.

Nama lain yang turut dikaitkan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Ketika ini, Ahmad merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, manakala Naib Ketua UMNO pula disandang oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Hasni telah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian bermula tahun 2001 sejak persempadanan semula kawasan Pilihan Raya antara Parlimen Pontian dan Parlimen Tanjung Piai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!