'Beri kami pilihan pamer pelekat cukai jalan'
SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Golongan warga emas meminta kerajaan memberi pilihan kepada orang ramai untuk terus mempamer cukai jalan pada kenderaan berikutan kesukaran mereka menggunakan aplikasi digital.
Seorang peniaga kedai runcit di Pasir Panjang Sekinchan, Mohd Yunus Yakob, 64, berkata, langkah pendigitalan sistem cukai jalan memberi kesukaran kepada golongan itu yang masih kurang pengetahuan tentang penggunaan internet.
Menurutnya, aspek digital amat disokong, namun sejauh mana keberkesanannya masih boleh dipertikai terutama bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet.
"Saya sendiri masih menggunakan telefon bimbit lama (tiada rangkaian internet) kerana fungsinya untuk berhubung terus (panggilan telefon) atau SMS (sistem pesanan ringkas) semata-mata," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Yunus berkata, kerajaan juga seharusnya memberi pertimbangan terhadap perlaksanaan itu terutama bagi warga emas yang penglihatannya semakin kabur.
"Kadang-kadang apabila kami ditahan polis atau JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tiba-tiba rasa gelabah dan masa itulah sibuk hendak cari cermin mata dan buka telefon bimbit," ujarnya.
Seorang lagi warga emas, Roslan Misdar, 68, berkata, penggunaan sistem digital menyukarkan warga emas yang sudah biasa dengan kaedah lama.
"Saya sendiri akui kadang-kadang terlupa bila cukai jalan mati (tamat tempoh) hingga terpaksa tengok pada pelekat kenderaan.
"Jika guna aplikasi kita bimbang terlupa hendak memperbaharui cukai jalan sedangkan ia telah tamat tempoh dan ini boleh mengundang risiko saman dan sebagainya," katanya.
Roslan yang menetap di Sungai Besar berkata, pendigitalan amat baik namun ia tidak perlu dilakukan secara drastik sebaliknya boleh dilaksanakan secara berperingkat.
"Kita tidak mahulah kerajaan laksana dan kemudian kembali pada cara asal (pamer cukai pada kenderaan) disebabkan masalah teknikal.
"Beri masa untuk rakyat menggunakan aplikasi ini dan jika terbukti berkesan boleh diteruskan untuk jangka masa panjang," ujarnya.
Seorang lagi pemilik kenderaan, Muhammad Nor Arif Abdullah, 53, berkata, usaha dilakukan kerajaan itu disambut baik tetapi berharap sistem itu dapat menangani kesesakan semasa sekatan jalan raya.
"Jika tampal pada cermin pihak berkuasa boleh tengok sepintas lalu, tetapi jika perlu semak dalam aplikasi, ia mungkin jadi masalah kerana pengguna kenderaan terpaksa menunggu lama lebih-lebih jika liputan internet lemah.
"Bagaimanapun, demi kebaikan perkara ini bagus bagi meningkatkan keselamatan dan sekali gus penipuan cukai jalan palsu," jelasnya.
Sementara itu, pengguna di Alor Setar, Kedah pula berpandangan cadangan kerajaan supaya orang awam menggunakan lesen dan cukai jalan digital masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini.
Peniaga, Mohammad Asri Mustafa, 53, berkata, jika mahu dilaksanakan, kerajaan perlu melakukan kajian terperinci sekaligus tidak menyusahkan mana-mana pengguna khususnya warga emas.
Menurut beliau, ada warga emas berkemungkinan sukar menggunakan peralatan digital seperti telefon bimbit sekali gus tidak tahu mendaftar akaun masing-masing melalui aplikasi dikehendaki.
"Bagi orang lama, agak susah disebabkan bukan semuanya berpengetahuan atau berkemahiran menggunakan teknologi seperti anak muda.
"Bayangkan, ada sesetengah orang tua perlu meminta pertolongan ahli keluarga meskipun sekadar untuk mengambil wang di bank. Inikan pula kena daftar aplikasi tertentu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!