Insentif kesihatan bakal diperkenalkan di Alor Gajah
ALOR GAJAH - Parlimen Alor Gajah akan memperkenalkan insentif kesihatan menerusi program bersama rakyat di kawasan itu bermula Mac depan.
Ahli Parlimennya, Adly Zahari berkata, insentif itu termasuk memastikan golongan asnaf khususnya mendapat pemakanan berkhasiat seperti protein menerusi konsep makanan yang akan ditentukan kaedahnya sama ada pemberian secara percuma atau ditawarkan dengan harga murah.
Menurutnya, kepentingan kesihatan dari dalam rumah akan mampu melahirkan komuniti sihat selain mensasarkan Hospital Alor Gajah akan bertukar status kepada hospital pakar pada akhir tahun ini.
Malah Adly berkata, pihaknya, akan menggerakkan sukarelawan kumpulan Go Medik yang akan memberi tumpuan kepada pesakit tidak berkeupayaan ke klinik mahupun hospital yang akan dibantu dari segi logistik dan juga pemberian ubat-ubatan serta pemeriksaan kesihatan.
"Setakat ini belum ada bilangan dan kita akan mendapatkan data serta senarai pesakit terbabit dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Daripada situ kita akan kutip data dan bermula Mac program ini dilakukan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan sebelum penilaian dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kerusi roda kepada seorang warga emas, Abdul Latip Mohd Yatim di Kampung Gangsa pada Sabtu.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, aspek kesihatan merupakan isu serius kerana bukan sahaja fokus kepada perubatan semata-mata, namun menjaga kesihatan itu dapat membantu negara dan masyarakat lebih produktif.
"Akan banyak khidmat kesihatan yang akan diberikan seperti mana kita telah lakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, begitu juga kita akan laksanakan di Parlimen ini
"Tidak ketinggalan program pemberian susu kepada anak-anak kerana ia penting bagi tumbesaran mereka," ujarnya.
Sebelum itu, Adly berkesempatan merasmikan Majlis Apresiasi Akademik 2022/2023 Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!