‘Lantikan Nazri Aziz sebagai duta dibuat setahun lalu’ - PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dilakukan setahun yang lalu.
Beliau berkata, watikah baharu dilakukan disebabkan Amerika Syarikat mengambil masa sehingga enam bulan untuk mengesahkan pelantikan itu.
Anwar turut memohon supaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunda pelantikan tersebut agar beliau dapat menyusun jemaah menteri terlebih dahulu.
“Kadang-kadang orang teguran dalam terburu-buru. Lantikan itu dibuat setahun yang lalu, mengambil masa enam bulan untuk Amerika Syarikat mengesahkan.
“Setelah disahkan saya ambil alih (kerajaan). Saya hanya mohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tangguh sedikit tentang watikah supaya saya susun dulu jemaah menteri. Saya harus maklumkan kepada jemaah menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang diadakan di sini pada Sabtu.
Pada 9 Februari, Sinar Harian melaporkan Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Nazri yang juga graduan Lincoln's Inn di United Kingdom dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.
Tambah Anwar, sekiranya kerajaan ingin membatalkan jawatan yang disangdang Mohamed Nazri itu, ia akan menimbulkan pelbagai masalah.
“Jadi, sepatutnya orang nak tegur boleh. Tetapi ambil maklum dahulu. Tanya dahulu. Jangan hukum. Tapi sekarang dia keras (marah) seolah-olah kita bertanggungjawab,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!