ATM tahan 4 PATI warga Myanmar
TANAH MERAH - Hasrat empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memasuki negara ini untuk mencari pekerjaan gagal apabila dicekup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat.
Kesemua PATI yang dicekup itu merupakan tiga lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia antara 29 hingga 40 tahun.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan semasa melakukan rondaan rutin pada jam 10.30 pagi anggota bertugas telah mengesan empat individu di tebing Sungai Golok di sini.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki negara ini secara haram untuk mencari peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Pihaknya turut merampas empat telefon bimbit, dua motosikal dan wang tunai berjumlah keseluruhannya RM4,721.99.
PATI tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!