Jangan anggap pengambilan pekerja asing fenomena tetap - Anwar
KUALA LUMPUR - Majikan diminta untuk menggunakan kaedah mekanisasi bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana, pengambilan pekerja asing bukanlah satu fenomena tetap yang akan dilakukan kerajaan.
“Harus ada langkah-langkah seperti yang saya sebut, ada syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menggunakan mekanisasi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang diadakan di sini pada Sabtu.
Menurut Anwar, apabila majikan melaksanakan mekanisasi, ia akan menarik minat warga tempatan untuk bekerja.
“Dan mereka akan menerima gaji yang tinggi kerana insentif mekanikal yang dilakukan majikan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga akan memberikan insentif tambahan jika perlu sekiranya terdapat usaha majikan ke arah itu.
“Ini untuk meminta majikan membuat penyesuaian dan pekerja tempatan senang diterima dengan gaji yang lebih tinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!