Bajet 2023: Kementerian, kerajaan negeri mahu peruntukan lebih

Ahmad merasmikan kejohonan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong pada Sabtu.
Ahmad merasmikan kejohonan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Peruntukan lebih bagi kementerian dan negeri menjadi cadangan yang paling banyak diterima sewaktu sesi dialog Bajet 2023 Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setiap cadangan yang dikemukakan dalam 12 sesi dialog membabitkan lapan kumpulan fokus dan empat negeri kini sedang dianalisa kementeriannya.

"Kebanyakan mencadangkan agar lebihan peruntukkan diberikan sama ada kepada kementerian dan negeri negeri. Saya kira cadangan itu standard yang diminta semua termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Saya sudah ke Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Perak untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak, negeri, akar umbi, badan bukan kerajaan (NGO), kementerian, ahli akademik mengenai Bajet 2023 dan sesi dialog ini sudah berakhir pada Jumaat," katanya.

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian kejohanan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong, di sini pada Sabtu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, kesemua negeri juga telah menghantar cadangan dan permohonan mereka berhubung Bajet 2023 kepada Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan.

"Dialog belanjawan kali ini meliputi fokus kos sara hidup, pembangunan luar bandar, kesihatan, pendidikan, keterjaminan makanan, pembangunan lebih seimbang, bakat dan peluang pekerjaan.

"Sesi dialog berhubung bajet akan disambung negeri lain pada Bajet 2024 yang dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober tahun ini," katanya.

Kerajaan dijadual membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!