Kerajaan tegas lawan salah guna kuasa, rasuah - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun dipandang sinis, Kerajaan Perpaduan tetap tegas dengan pendirian yang diambil dalam menentang salah guna kuasa dan amalan rasuah.

Menjadikan keputusan kerajaan menghentikan amalan pengambilan pekerja asing menggunakan ejen sebagai contoh, Perdana Menteri berkata, walaupun dibantah segelintir pihak berkepentingan, langkah memastikan pekerja terbabit tidak disalahgunakan akan tetap diteruskan.

Beliau berkata, dengan kos tinggi dikenakan oleh ejen, ia memberi kesan kepada kemasukan pekerja asing sedangkan negara memerlukan mereka dalam sektor tertentu seperti perladangan dan industri makanan termasuk restoran.

"Kita tahu dalam hal ini, ada pihak membuat keuntungan tinggi dengan mengenakan kos tambahan yang melampau dan kita seharusnya dilihat mempunyai upaya mempertahankan hak pekerja dan menghalang sebarang bentuk penindasan sama ada mereka pekerja tempatan atau pekerja luar.

"Kita tidak mahu hal ini terus berlaku. Sebab itu saya tegas dan keras dalam hal ini dan jika ada yang sinis, saya tidak peduli...saya dan rakan-rakan dalam Kabinet tekad untuk mengangkat negara jadi sebuah negara hebat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Anwar berkata, beliau menyedari ada segelintir 'golongan kaya' membantah keputusan itu dengan pelbagai ugutan, namun keputusan tegas diambil kerajaan itu menampakkan petanda positif dalam aspek pengambilan pekerja asing.

Perdana Menteri berkata, tanpa bayaran wang haram dan amalan rasuah yang menindas, langkah tuntas kerajaan itu menyaksikan hampir 200,000 pekerja asing masuk dan didaftarkan sebagai pekerja di negara ini.

"Ini terhasil selepas kita tetapkan pekerja asing didaftarkan tanpa melalui ejen dan memutuskan kos bagi setiap daripada mereka hanya RM3,700 meliputi kos perubatan, penerangan dan urusan dokumentasi lain," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa pemain industri, syarikat dan majikan untuk bersama-sama memainkan peranan penting menghentikan sebarang unsur rasuah dalam pengoperasian syarikat masing-masing demi menjayakan aspirasi Malaysia yang bersih dan bebas amalan rasuah.

Pada Rabu, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana melibatkan kos tinggi.

Beliau memberi contoh, kos bagi pekerja Nepal hanya RM3,700, tetapi bagi pekerja Bangladesh dan Indonesia, masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000 berikutan yuran tinggi yang dikenakan ejen dan menyifatkannya tidak ubah seperti 'penghambaan moden'.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengambil langkah segera mencari jalan mempermudah urusan permohonan perniagaan kepada syarikat yang berminat memulakan perniagaan di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, urusan permohonan perniagaan seharusnya dijalankan dengan lebih pantas dan efisien berikutan minat yang semakin positif ditunjukkan oleh pengusaha dan pelabur mengenai perniagaan di Malaysia.

"Saya mahu proses pendaftaran perniagaan dipercepatkan dan MITI perlu perkenalkan kaedah yang lebih pantas dan mudah kepada pemain industri.

"Saya sangat yakin, kalau usaha ini dapat diberi penekanan dan dipercepatkan, kita boleh tengok Malaysia baharu, Malaysia Madani dalam erti sebenar dalam tempoh setahun ini," katanya.

Berhubung pengenalan SKSSR, Anwar berkata, skim yang diperkenalkan sejak 1 Disember tahun lepas itu ialah satu usaha kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam mengiktiraf peranan penting yang dimainkan suri rumah.

Perdana Menteri berkata, sebagai tonggak keluarga, peranan suri rumah perlu diiktiraf dan diberikan penghormataan sepatutnya oleh kerajaan termasuk oleh suami dengan membuat caruman kepada isteri masing-masing.

Menurut Perkeso, setakat 31 Januari lepas, 141,144 suri rumah telah mencarum di bawah skim itu dan daripada jumlah itu, 135,281 ialah suri rumah berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri KWSP yang caruman mereka ditaja oleh kerajaan selama setahun menerusi peruntukan Bajet 2022.

Dengan hanya RM120 jumlah caruman untuk tempoh 12 bulan yang dibayar secara 'in-advance', suri rumah akan menikmati Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Perubatan dan Pemilihan, Elaun Keuzuran, Bantuan Dialisis, Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!