Belanjawan 2023: Peruntukan KPWKM dijangka meningkat
LUNDU - Peruntukan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka lebih besar berbanding belanjawan diumumkan kerajaan sebelum ini, kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, peningkatan jumlah peruntukan itu berikutan perancangan kementerian untuk menubuhkan data berpusat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jabatan atau institusi khas untuk kanak-kanak.
"Belum pasti berapa peratus peningkatan itu kerana bukan di bawah bidang kuasa kita tapi KPWKM sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM anjuran Yayasan Kebajikan Negara di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, langkah mewujudkan data berpusat JKM akan membantu meningkatkan kecekapan jabatan itu di setiap daerah dalam menguruskan isu tertentu seperti kes kanak-kanak didera dan diabaikan.
Nancy berkata tahun ini, kementeriannya turut bercadang menambah baik program serta menganjurkan lebih banyak aktiviti melibatkan kekeluargaan dan golongan remaja.
Belanjawan 2023 akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.
Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2023 kerajaan terdahulu, KPWKM menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM3.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak 26.46 peratus berbanding RM2.67 bilion pada 2022.
Sementara itu, mengulas mengenai Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM, Nancy berkata program itu bertujuan memberi bimbingan kepada wanita yang memerlukan terutamanya yang hilang pendapatan atau ibu tunggal untuk menceburi bidang keusahawanan.
"Sejak memegang portfolio ini, kira-kira 800 peserta terlibat dalam program keusahawan berkenaan dan saya mahu mencapai 2,000 peserta dari seluruh negara sebelum 5 Mac ini sebagai petunjuk prestasi utama 100 hari saya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!