'Publisiti murahan P Ramasamy menyusahkan PH'

Mohd Sany Hamzan
Mohd Sany Hamzan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menyifatkan gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy sebagai publisiti murahan serta menyusahkan Pakatan Harapan (PH).

Gesaan P Ramasamy agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam didakwa didominasi orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bertentangan dengan dasar Malaysia Madani.

"Ramasamy sekali lagi mencari pasal dan cuba menjadi hero kaumnya dengan publisiti murahan dan tindakan sebegini sudah tentu menyusahkan Pakatan Harapan.

"Kenyataan sebegini juga bertentangan dengan dasar Malaysia Madani yang sedang dipelopori oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu sabotaj kepada beliau.

"Bagi saya, ia tidak wajar keluar daripada rakyat negara ini jika mereka mahu menjaga keharmonian antara kaum," kata Mohd Sany dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, P Ramasamy dilaporkan berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Ini kerana dakwanya, hujah berkenaan digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Mohd Sany turut yakin DAP juga tertekan dengan kenyataan dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap P Ramasamy.

"Saya yakin DAP tertekan dengan kenyataan semacam ini dan perlu berbuat sesuatu kerana ini bukan kenyataan pertama daripada beliau yang menyusahkan DAP sendiri.

"Tindakan paling sesuai bagi saya adalah memecat beliau daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana saya yakin ramai lagi pemimpin yang lebih berwibawa untuk jawatan itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!