'Mummy' Indonesia dalang sindiket pelacuran
KUALA LUMPUR - Sindiket pelacuran didalangi wanita warga Indonesia yang mengaut untung mencecah RM2.8 juta tumpas dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata, serbuan di pusat hiburan dan rumah transit bermula jam 11.30 malam berjaya menahan 36 individu berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun.
Menurutnya, mereka yang ditahan membabitkan 33 wanita terdiri daripada 27 warga Indonesia, Vietnam (2) dan Thailand (4) selain seorang pelanggan lelaki warga Bangladesh serta dua lelaki tempatan berperanan sebagai penjaga premis.
“Serbuan berjaya merampas telefon bimbit, bungkusan kondom, pelincir, ‘sex toys’, kad akses bilik dan kunci premis.
“Risikan mendapati sindiket didalangi seorang wanita warga Indonesia digelar ‘mummy’ yang berperanan menjaga dan menguruskan wanita-wanita warga asing menjalankan aktiviti pelacuran di beberapa buah premis hiburan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, wanita-wanita asing ini masuk ke Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang diberikan untuk tujuan melancong tetapi menyalahgunakannya untuk terlibat aktiviti tidak bermoral di negara ini.
Katanya, selain itu ada antara yang ditahan menggunakan PLS (Pasangan Kepada Warganegara), PLS (Pengiring Kepada Pesakit), Pas Penggajian sebagai juruterapi spa selain ada antara mereka memiliki dokumen (Akuan Penerimaan) bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
“Hasil aktiviti pelacuran ini, sindiket berjaya mengaut keuntungan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta.
“Siasatan juga mendapati wanita ini dipercayai perlu membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada pihak ejen untuk urusan kemasukan,” ujarnya.
Tambahnya, kadar bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah lingkungan RM400 hingga RM500 satu jam.
“Kegiatan ini beroperasi antara jam 10 malam hingga 3 pagi. Pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu di aplikasi WhatsApp atau Telegram bagi mendapatkan perkhidmatan terbabit,” katanya.
Katanya lagi, semakan ke atas semua tahanan mendapati lima wanita yang terdiri daripada seorang Vietnam serta empat Indonesia berada dalam Senarai Hitam Jabatan Imigresen Malaysia dan dipercayai telah memasuki negara melalui sindiket yang menyeludup kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
“Terdapat juga wanita yang telah ditangkap dan ditahan sebelum ini dan masih di dalam perbicaraan di mahkamah. Melalui semakan yang dijalankan juga mendapati terdapat cap PLS yang disyaki palsu dimiliki oleh warga asing tersebut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!