Pemain import Korea Selatan, Gambia perkuat Kelantan FC
KELAB bola sepak Kelantan FC sah mendapatkan khidmat dua pemain import dari Korea Selatan dan Gambia menjelang saingan Liga Super 2023 yang dijadual bermula 24 Februari ini.
Kelantan FC dalam kenyataan memaklumkan dua pemain import itu ialah Nuha Marong Krubally, 29, dari Gambia dan Kim Ming Kyu, 24, dari Korea Selatan.
"Nuha Marong akan bermain di posisi penyerang dan Kim Ming pula bermain di bahagian pertahanan. Kedua-kedua pemain import ini menandatangani kontrak bersama pasukan selama semusim," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut Kelantan FC, Nuha Marong memiliki pakej yang baik sebagai penggempur utama pasukan kerana mempunyai pengalaman bermain di peringkat kebangsaan bersama skuad Sepanyol Bawah 21 Tahun dan pasukan Gambia.
"Pengalaman beliau begitu berharga dan ketajaman beliau akan memberikan impak positif dalam skuad musim ini.
"Selain itu, peranan Ming Kyu sebagai benteng akhir amat diperlukan untuk membantu skuad Kelantan FC kerana memiliki pengalaman luas bersama skuad kebangsaannya," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!