MyJPJ: Lebih selesa kaedah lama daripada guna aplikasi
SEREMBAN - Golongan warga emas lebih selesa menggunakan kaedah lama berbanding penggunaan aplikasi khas MyJPJ seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Pesara swasta,Chong Wah Kee, 59, berkata, menggunakan dokumen fizikal lebih mudah dan sekiranya ia rosak boleh ditukar.
"Bagi saya ia bukanlah perkara yang rumit untuk dipamerkan, senang untuk ditunjukkan jika diminta pihak berkuasa apabila pemeriksaan dilakukan.
"Lagipun bukan semua warga emas mahir menggunakan telefon pintar," katanya.
Pesara kerajaan, Razali Pilus, 65, pula berkata, tidak menafikan kaedah baru itu lebih baik dan efisen sesuai dengan era digital sekarang.
"Ia satu langkah yang baik bagi memudahkan orang ramai, tetapi warga emas lebih suka cara lama sebab bagi saya lebih mudah berbeza bagi orang muda.
"Warga emas banyak kekangan antaranya tidak semualah faham akan penggunaan aplikasi itu berikutan ada yang mempunyai telefon sekadar untuk membuat panggilan," katanya.
Pendapat sama turut diutarakan oleh pekerja swasta, Mohd Amin Jalil, 60.
Mohd Amin berpandangan, sukar bagi warga emas untuk memahami aplikasi itu selain tidak mahir menggunakannya malah tidak semua membawa telefon bimbit ketika memandu.
"Ia menyusahkan. Kerajaan sepatutnya turunkan caj cukai jalan," katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!