Polis rampas rokok seludup RM1.5 juta
IPOH - Polis merampas 11,550 karton rokok tidak bercukai bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar pada Jumaat.
Serbuan sekitar jam 7.10 malam itu dilakukan menerusi Op Kontraban oleh Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Ipoh-Lumut.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, anggota telah mengekori kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki itu sehingga berhenti di sebuah rumah yang disyaki dijadikan stor simpanan rokok seludup.
"Lelaki itu dilihat masuk ke dalam rumah dan mengeluarkan beberapa kotak besar untuk diletakkan dalam kereta.
"Anggota kita telah membuat serbuan dan pemeriksaan di dalam kenderaan dan rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan telah menemui 231 kotak besar mengandungi lebih 11,500 karton pelbagai jenama rokok dipercayai seludup.
Katanya, semua rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM184,800 dengan nilai cukai kastam lebih RM1.5 juta.
"Suspek warga tempatan berusia 43 tahun telah ditahan reman selama 7 hari sehingga 17 Februari depan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"Polis turut merampas kenderaan digunakan, dua telefon bimbit dan lain-lain barang berkaitan untuk siasatan," katanya.
Mohd Yusri berkata, polis kini sedang mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan sindiket tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti itu diminta tampil membantu polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!