SMART selamatkan lima mangsa gempa bumi Turkiye
GAZIANTEP - Pasukan penyelamat negara, MAS-01 SMART berjaya menyelamatkan lima mangsa gempa bumi di kawasan runtuhan bangunan kediaman enam di Nurdagi di sini pada 2.20 petang waktu tempatan Sabtu (7.20 malam waktu Malaysia).
Komander Kontinjen MAS-01 SMART, Mohd Khairul Jamil berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada dua wanita, seorang lelaki dewasa serta masing-masing seorang remaja lelaki dan perempuan.
"Pasukan itu bergerak ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira 1.3 kilometer dari Stadium Nurdagi yang menempatkan kem pasukan pada 11 pagi (4 petang waktu Malaysia) dan berjaya mengesan lima mangsa terbabit pada 1 tengah hari (6 petang waktu Malaysia) menggunakan peralatan khas,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, MAS-01 SMART kini berusaha mengesan seorang bayi dan pihaknya juga telah menggerakkan pasukan kedua untuk ke lokasi sama bagi melakukan pencarian.
Katanya, mangsa diserahkan kepada anggota paramedik tempatan bagi tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!