Azeem boleh buat lebih baik
JURULATIH pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berharap anak didiknya, Muhammad Azeem Fahmi tidak cepat berpuas hati selepas sekali lagi memecah rekod 60 meter (m) pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, Carolina Selatan pada Sabtu.
Menurutnya, Muhammad Azeem perlu terus memperbaiki larian dan cuba mencatatkan masa yang lebih baik pada kejohanan akan datang.
“Kepada Azeem, teruskan apa yang telah dibuat. Sentiasa berusaha dan jangan mudah berpuas hati dengan kejayaan yang telah diraih.
“Teruskan mengikuti latihan dalam usaha memastikan dapat jadi pelari pecut yang terbaik pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Dalam aksi kejohanan dalam dewan itu, Azeem mencatatkan rekod baharu kebangsaan dalam acara 60m apabila melakukan larian dengan catatan masa 6.62s untuk mengakhiri saingan di kedudukan kelima.
Catatan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 6.63s yang dilakukan di Kejohanan Texas Tech Open di Texas, dua minggu lalu.
Muhammad Amir yang mengenali Azeem sejak pelajar itu berumur 11 tahun juga percaya atlet berusia 18 tahun itu telah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih hebat bersama Universiti Auburn di bumi Amerika Syarikat tersebut.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan. Ini menunjukkan dia sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih hebat.
“Apa yang penting adalah peningkatan. Pada saya tidak kira sama ada banyak atau tidak peningkatan yang dipamerkan, yang penting saya mahu melihat catatan konsisten dapat dilakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Azeem melalui laman Twitternya bersyukur dengan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali pada acara dalam dewan itu.
“Alhamdulillah, minggu yang baik dengan atlet yang terbaik. Bersyukur dengan satu lagi rekod Malaysia. Musim kejohanan kejuaraan akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!