Antara Rao, sastera dan HSDR7

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

PADA 28 Januari lalu, kesibukan itu seolah-olah diundang! Bermula dengan wawancara tentang etnik Rao atau dikenali juga Rawa, melebar ke aktiviti sastera berakhir dengan polemik Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (HSDR7) yang terpaksa mengetuk pahat setelah rumah disiapkan dengan tidak sempurna.

Manusia sering lupa asal usul umpama Kunta Kinte yang meninggalkan Afrika berhijrah ke Amerika. Berubah daripada mengenali sebutir jagung kepada menggauli pengeluar popcorn, makanan snek yang diperkenalkan oleh pengusaha Chicago, Charles Cretors sekitar tahun 1890-an. Bertih jagung ini kemudiannya menguasai pawagam di Malaysia seketika dahulu. Apakah orang Rao atau orang sastera begitu?

Etnik Rao berhijrah dari Minangkabau, Sumatera ke Tanah Melayu setelah tewas dalam Perang Paderi pada tahun 1830-an, kemudian menjadi sebahagian warganegara mengikut Perkara (2) 160 Perlembagaan Persekutuan. Justeru migrasi itu penting, menimba yang jernih di tempat orang!

Pagi itu, Helmi dari Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali gus calon Ph.D yang akan menjalani viva voce di Universiti Cambridge bertanyakan khabar tentang orang awak (urang Rao).

Helmi bertamu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh ketika penulis sibuk mengelolakan Sesi Bimbingan Menghasilkan Manuskrip Novel Remaja dan Buku Kanak-Kanak untuk diterbitkan oleh rumah penerbitan negara atau separuh jumlahnya menerusi Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Etnik Rao itu ialah orang Melayu. Menetap di beberapa negeri terutama Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Makanan tradisinya yang popular ialah kelamai atau gelamai, bubur anak lebah (bubor anak lobah), asam ikan keli (asom iken koli), asam daging, lepat gebu (lopek gobu), laba (makanan pencuci mulut) dan nasi rondang.

Dialek Rao mirip loghat Negeri Sembilan tetapi tidak serupa dengan bahasa Minangkabau. Dialek ini dikuasai konsonan ‘o’ seperti kodai (kedai), tompek (tempat), bosa (besar), baso (bahasa).

Banyak istilah Melayu dan pinjaman membentuk konsonan tersendiri dalam dialek tersebut. Misalnya, kenyang (konyang), lenggang (longgang) malah kata pinjaman daripada bahasa Arab seperti puasa (puaso), cerai (corai). Kata pinjam daripada bahasa Inggeris seperti newspaper (pepa), market (moroket), martool (morotol), lamp bulb (bol lampu) dan sebagainya.

Adat

Masyarakat Rao memiliki ‘adat berjojak’ yang tidak terdapat pada etnik Melayu lain. Adat yang menjadi identiti etnik tetapi tidak pula semua orang Rao mengamalnya kerana ia berpunca daripada bayi baru lahir yang alah (alergik) kepada tanah. Adat berjojak dijalankan bagi mengubat alahan tersebut.

Banyak buku tentang Rao yang boleh dirujuk antaranya, Kamus Melayu Rao (2022), Pantang Tanah dan Adat Berjojak (2019), Orang Rao (2016), Sejarah Kedatangan dan Biografi Tokoh Rawa di Malaysia (2012), Wanita Rawa Terakhir (2022), Tanah Seribu (2015), Menelusuri Perjuangan Tiga Tokoh Pahlawan Rawa di Pahang (2013) dan Masyarakat Rao di Malaysia Analisis Tentang Sosiobudaya (2013).

Serentak pada pagi itu berlangsung Sesi Bimbingan Menghasilkan Manuskrip Novel Remaja dan Buku Kanak-Kanak di dua buah bilik kuliah berasingan. Program anjuran Karyawan Pk bersama-sama Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Ipoh. Seramai sepuluh peserta novel remaja dibimbing oleh Amer Hamzah L Kadir, pemenang tujuh sayembara novel manakala sepuluh orang peserta lagi bagi genre kanak-kanak oleh Norazimah Abu Bakar dan Faziah Sulaiman.

Dalam ucapan penutup, penulis menekankan bahawa sesi bimbingan tidak terhenti begitu saja tetapi dengan bantuan media sosial, ia harus diteruskan sehingga manuskrip dapat disiapkan selewatnya pada akhir bulan Mei tahun ini untuk diterbitkan sama ada oleh rumah penerbitan yang established mahupun oleh persatuan sendiri.

Perkongsian aktiviti sastera seperti ini merupakan inisiatif badan penulis dan institusi tertentu di Perak bagi melahirkan seberapa banyak karya berbentuk buku yang merakamkan variasi cerita tentang negeri ini dalam skop sejarah, tokoh, pelancongan, geografi, patriotisme malah berkaitan cerita jenaka yang berasal dari Perak.

Pembukuan begini harus digembleng penulis-penulis sastera yang bergiat dan berkarya di negeri ini. Tidak seperti Kunta Kinte yang mengenali sebutir jagung dari kampungnya sendiri setelah berada di tempat orang!

Perkembangan sastera di negeri ini digerakkan oleh pejuang-pejuang sastera yang tidak didendangkan. Mereka disisih dan dipinggirkan tetapi masih ligat bergerak tanpa menghiraukan batasan kronisme dan monopolisme yang melingkari dunia sastera itu sendiri walaupun pemain-pemain sastera import dinobat dan diraikan.

Justeru tidak harus dikesalkan kerana pesta sastera akan datang lagi. Namun kemunculan pesta itu kadangkala hanya untuk festival sorak-sorai yang menguntungkan Kunta Kinte sahaja.

HSDR7

HSDR merupakan hadiah yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak kepada para penulis anak negeri dalam genre puisi, cerpen, novel (kanak-kanak/ remaja/dewasa), biografi, autobiografi, memoir, drama (radio / televisyen / pentas), esei dan kritikan sastera. Di samping itu HSDR turut memberi anugerah kepada empat tokoh iaitu Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan, Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan, Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Darul Ridzuan dan Anugerah Tokoh Keilmuan Darul Ridzuan.

Menelusuri trivia HSDR, penulis terpanggil memperkatakan sesuatu kerana peranan di belakang tabir itu penting juga dikenang oleh zaman. Penulis dan Karyawan Pk mula terlibat semenjak HSDR pertama (1987), menulis dan mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri Perak dan dilantik sebagai ahli jawatankuasa HSDR2 pada tahun 1995, HSDR4 (2014), HSDR5 (2016), HSDR6 (2018) dan hanya sekadar menulis dan mengemukakan kertas cadangan serta membincangkan pada peringkat awal HSDR7 (2023).

HSDR tidak akan muncul seandainya tiada kertas cadangan dikemukakan oleh badan penulis di negeri ini. Berasaskan pengalaman, HSDR diadakan setelah menerima kertas cadangan, malah menyediakan format dan syarat untuk borang pencalonan anugerah dan format, syarat borang penyertaan untuk hadiah penulisan serta disusuli dengan perbincangan dari masa ke masa dengan Exco Pelancongan dan Kebudayaan. Oleh itu penulis terbabit untuk enam HSDR kecuali HSDR3.

Bagi HSDR7 Karyawan Pk mengemukakan kertas cadangan dua kali, pertama pada tahun 2020 seterusnya pada tahun 2021 kerana kerajaan negeri dan Exco Pelancongan dan Kebudayaan saling bertukar ganti.

HSDR7 telah dipersetujui berlangsung pada bulan Oktober 2022 kerana pertukaran kepimpinan kerajaan negeri dan Pilihan Raya Umum ke-15 maka diadakan pada malam 27 Januari 2023. Ekoran sebab ini, urus setia baharu membuka pencalonan semula untuk anugerah khas walaupun pencalonan ini sudah ditutup pada awal tahun 2022.

Tindakan ini tidak wajar kerana pemberian anugerah hanya ditentukan oleh kerajaan negeri berasaskan merit piawaian Jawatankuasa khas bukan juri hadiah. Prinsipnya, jika tiada pencalonan, anugerah itu tidak wajar diisi. Malahan jika ada pelancongan sekalipun, anugerah tidak boleh diberi jika calon tidak dapat memenuhi merit piawaian Jawatankuasa. Ini kerana bagi menjamin integriti dan martabat anugerah.

HSDR7 dilangsungkan dengan gemilangnya namun ke manakah para pemain sastera Perak pada malam itu? Apakah anda tidak diundang sebagaimana banyak jemputan istimewa untuk sasterawan luar? Kenapa pemain-pemain sastera Perak dan peserta yang tidak memenangi hadiah dilupakan? Ini pesta sastera Perak, wajar orang sastera negeri yang memenuhi dewan itu, bukan orang kayangan!

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!