'Bukankah dahulu Rafizi ragui SPRM?'
SHAH ALAM - Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa tiada keperluan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen merupakan satu pendirian mengelirukan dan tersasar daripada persepsi beliau selama ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Yahaya berkata, jawapan diberikan tersebut sangat ironi kerana dari satu sudut, Rafizi sendiri dilihat meragui keupayaan SPRM sebagai badan penguatkuasaan rasuah di negara ini.
Dari sudut yang lain pula katanya, Rafizi menolak untuk menambah baik kedudukan SPRM dengan meletakkannya di bawah akauntabiliti Parlimen sebagaimana yang dijanjikan dalam kempennya sebelum ini.
“Bukankah ini sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PH)/Barisan Nasional (BN) susulan pada awalnya mereka mengalami defisit keyakinan terhadap SRPM sebelum ini?
“Saya berasa semua pihak masih ingat bagaimana Rafizi pernah mengeluarkan kenyataan dengan jelas mahu ‘mencari’ Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kononnya di atas dakwaan penganiayaan politik dilakukan SPRM ke atas beliau dan syarikatnya.
“Namun sehingga kini, masih tiada kertas siasatan dibuka terhadap Azam Baki. Rafizi sebaliknya mendakwa tuduhannya sebelum ini sebagai political soundbites semata-mata,” katanya kepada Sinar Premium.
Ahmad berkata, persoalan yang bermain di minda orang ramai ialah pembohongan Menteri Ekonomi itu demi meraih simpati politik.
Jelasnya, politik separuh masak diamalkan oleh PH ketika ini dilihat diteruskan oleh mereka yang sudah berada di puncak kuasa.
Tambahnya, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri lebih cenderung membuat tuduhan rambang sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap kakitangan awam yang berada dalam kementerian.
Tegas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu, dalam masa yang sama, kerajaan baharu bersikap ironi apabila individu yang berdepan kes rasuah diangkat ke dalam kabinet, selain amalan nepotisme menjadi norma baharu dalam kerajaan sedia ada.
Menurut beliau, isunya bukan lagi soal mereformasikan SPRM dan kehendak politik untuk menutup lubang rasuah, tetapi sebaliknya semakin mengundur lebih parah ke belakang dengan amalan normal baharu nepotisme.
“Barangkali ini juga identiti Malaysia Madani yang mahu diketengahkan. Saya berpandangan bahawa isu reformasi institusi ini memerlukan libat urus yang serius. Paling utama adalah kita menolak institusi penting seperti SPRM dijadikan alat tunggangan politik.
“Keadilan bukan sahaja dilihat sebagai telah dilaksanakan, bahkan juga perlu dilihat sebagai telah dipercayai perlaksanaannya. Tepuk dada, tanya iman,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!