Beri rakyat masa adaptasi dunia pendigitalan

Pegawai JPJ, Nor Hayati Zainudin menunjukkan aplikasi MyJPJ yang diperkenalkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai Inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Teras JPJ di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama
Pegawai JPJ, Nor Hayati Zainudin menunjukkan aplikasi MyJPJ yang diperkenalkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai Inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Teras JPJ di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perubahan yang dilakukan oleh kerajaan dengan mewujudkan pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sememangnya memberi kejutan kepada rakyat di negara ini.

Jika dilihat semula inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan, itu merupakan salah satu usaha memudahkan urusan orang ramai, di samping membawa negara ke satu tahap yang berbeza.

Sebaik sahaja Portal Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi MyJPJ dilancarkan, ramai orang memberi reaksi berbeza-beza, ada yang menyokong dan ada pula meluahkan rasa tidak senang dengan pelaksanaan pendigitalan itu.

Orang dewasa khususnya anak muda yang begitu mahir dengan sistem maklumat dan teknologi (IT) begitu menyukai mod paparan digital kerana bertepatan dengan arus kemajuan teknologi, ia memang wajar untuk dilaksanakan.

Benar, segala perkara berkaitan dengan kemajuan sistem maklumat, negara seharusnya tidak ketinggalan dan sentiasa bergerak seiring dengan negara-negara maju yang lain.

Bagaimanapun, Pakar Siber Sekuriti, Adlyn Adam Teoh, menjangkakan hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilik kenderaan yang akan menggunakan aplikasi berkenaan.

Hal itu kerana terdapat banyak faktor menyumbang kepada peratusan tersebut antaranya tidak semua memiliki telefon pintar, tidak mahir dengan IT khususnya golongan tua dan khuatir dengan aspek keselamatan data peribadi sekiranya mendaftar dalam sistem tersebut.

Pun demikian, isu risau akan kebocoran data peribadi bukanlah perkara baharu tetapi ia pernah dibangkitkan sebelum ini sewaktu negara mula-mula mewujudkan aplikasi MySejahtera.

Tidak mengapa seandainya usaha yang dilakukan kerajaan itu mendapat reaksi yang berbeza-beza oleh orang ramai kerana mereka masih belum tahu impak positif di sebalik pelaksanaan itu.

Langkah terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan memberi masa kepada golongan tersebut untuk mereka belajar adaptasi dengan perubahan ke arah sistem pendigitalan.

Justeru, adalah sangat penting untuk kerajaan mengekalkan sistem sedia ada iaitu mengeluarkan LMM dan LKM secara fizikal untuk memudahkan golongan tertentu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!