ASP dipenjara 3 tahun, denda RM20,000 terima rasuah
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh, Rantai Anak Giling, 47, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dipenjara setahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
Ahmad Zamzani membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Michael Joimin berjaya membuktikan kes terhadap pegawai polis itu melebihi keraguan munasabah.
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan peguam M. Athimulan yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga proses rayuan selesai, selain mengekalkan ikat jamin RM8,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini.
Seramai 20 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Sebelum ini, Rantai yang bertugas sebagai Penolong Penguasa Polis di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, IPD Gombak, dibicarakan atas tuduhan bersetuju menerima suapan wang tunai tersebut daripada Azizur Rahman sebagai dorongan untuk melepaskan pekerja Azizur, Rostam Ali Sheikh, warganegara Bangladesh, yang ditahan di IPD itu kerana tidak mempunyai permit kerja sah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!