Arteta berang keputusan pengadil

Arteta. Foto EPA.
Arteta. Foto EPA.
A
A
A

JURULATIH Arsenal, Mikel Arteta berang dengan keputusan pengadil yang mengesahkan gol penyamaan Brentford yang sepatutnya tidak boleh diterima kerana ofsaid.

Beliau mendakwa pengadil 'menukar peraturan' selepas jaringan kontroversi Ivan Toney membolehkan Brentford mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu 1-1.

Pada aksi itu pemain baharu, Leandro Trossard membuka jaringan menerusi gol pertamanya di Stadium Emirates.

"Saya baru lihat video dan ia ofsaid, tapi sudah terlambat. Tak mengapa, gol sudah dibenarkan dan kami hilang dua mata," ujar Arteta.

The Gunners kalah kepada Everton minggu lalu dan keputusan seri itu meletakkan mereka hanya enam mata di depan Manchester City yang berada di tangga kedua.

Sedar dengan tekanan ke atas pasukannya, yang sebelum ini tewas kepada City dalam saingan Piala FA, Arteta jelas kecewa dengan jaringan Toney.

Gol berkenaan kekal walaupun diperiksa berulang kali menerusi ulang tayang VAR bagi memastikan sama ada Ethan Pinnock berada di kedudukan ofsaid.

Arteta akan membawa perkara ini kepada bos EPL kerana ia keputusan penting dalam usaha Arsenal memburu gelaran liga pertama sejak 2004.

"Kami sering menilai perlawanan dengan mereka (Liga Perdana) dan kami memberikan pendapat, tapi ia sudah terlambat.

"Mereka mungkin akan memberikan penjelasan di akhir minggu depan.

"Anda perlu mempunyai prinsip. Ia dilakukan dengan berpegang kepada peraturan, tiba-tiba peraturan bertukar dan anda terpaksa menukar prinsip itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!