Bayern kena pamer aksi luar biasa
PENGENDALI Bayern Munich, Julian Nagelsmann menuntut prestasi yang lebih baik dipamerkan pasukannya dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain pada Rabu.
Pendahulu Bundesliga itu melebarkan rekod tanpa kalah liga mereka kepada 13 perlawanan pada Sabtu dengan kemenangan 3-0 ke atas Bochum hasil jaringan Thomas Muller, Kingsley Coman dan Serge Gnabry.
Bagaimanapun, Nagelsmann kurang kagum dengan persembahan pasukannya dan mencabar para pemainnya untuk persembahan lebih baik ketika berkunjung ke Parc des Princes.
"Kami tidak mengikut permainan sebenar kami. Saya fikir, jika kami bermain dengan lebih semangat dalam enam minit pertama kami sepatutnya mendahului dengan dua atau tiga gol.
"Kami mempunyai peluang yang besar namun tidak mempunyai penyudah. Secara keseluruhan, ia bukanlah perlawanan yang bagus daripada pasukan.
"Kami perlu mempamerkan permainan yang luar biasa di Paris, walaupun Kylian Mbappe mungkin tidak bermain. Jika kami bermain seperti ini menentang PSG, kami tidak boleh pergi jauh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!