Perak saran larangan main lato-lato di sekolah
IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak disarankan untuk mengambil langkah pencegahan dengan melarang permainan lato-lato di persekitaran kawasan sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, permainan itu tidak sesuai dibawa kerana dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan dan mendatangkan kecederaan dalam kalangan pelajar.
"Ia tidak sesuai dimainkan dalam kawasan sekolah kerana akan beri kesan terhadap tumpuan pelajar hasil bunyi permainan itu dan mungkin menimbulkan kecederaan.
"Kita khuatir sekiranya berlaku insiden, akan ada pihak yang menyalahkan sekolah. Jadi, saya mencadangkan JPN mengambil langkah melarang permainan ini di sekolah-sekolah," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Sekolah Perak di Dewan Serba guna Seri Iskandar pada Sabtu.
Menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang kes berkaitan lato-lato namun, aspek keselamatan perlu dititik beratkan sebagai langkah awal mencegah daripada perkara yang tidak diingini.
Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata, siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan seorang penonton di Litar Dato Sagor di Kampung Gajah, Disember lalu sudah lengkap minggu lalu.
"Bagaimanapun secara dokumentasinya, saya belum menerima laporan tersebut.
"Difahamkan siasatan dibuat dari aspek kecuaian dan keselamatan, kita serahkan sepenuhnya kepada pegawai penyiasat untuk mengambil tindakan selanjutnya," ujarnya.
Sinar Harian melaporkan seorang pengusaha bengkel maut dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato Sagor, Pasir Salak, 31 Disember lalu.
Mangsa berusia 32 tahun berada di tepi litar untuk menyaksikan pertandingan melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.
Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila dua kenderaan gagal mengawal kenderaan ketika bergesel semasa menghampiri garisan penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!