46 pengunjung ditahan positif dadah, miliki bahan terlarang

Antara pengunjung pusat hiburan yang ditahan dalam serbuan di Pulau Tikus pada Ahad
Antara pengunjung pusat hiburan yang ditahan dalam serbuan di Pulau Tikus pada Ahad
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 15 individu dikesan positif dadah manakala 31 lagi ditahan kerana memiliki bahan terlarang terbabit dalam pemeriksaan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus dekat sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 3 pagi itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan terbabit.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat pihak polis menghadapi kesukaran apabila pintu pusat hiburan terbabit dikunci dari dalam hingga menyebabkan beberapa pengunjung cuba melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, usaha mereka ternyata sia-sia apabila kesemua mereka berjaya ditahan semula oleh pasukan serbuan yang terlebih dahulu mengepung kawasan pusat hiburan berkenaan.

"Dalam serbuan yang dilakukan, seramai 108 individu diperiksa terdiri daripada 97 lelaki dan 65 wanita tempatan termasuk 11 wanita warga asing dari Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Hasil risikan mendapati, pusat hiburan ini beroperasi hingga jam 7 pagi dan menjadi tempat pengunjung berhibur dengan menggunakan dadah," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Soffian berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada golongan ibu bapa agar memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terlibat dengan aktiviti tidak bermoral termasuk penyalahgunaan dadah.

Beliau turut meminta agar orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah di mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!