Najib sindir Kerajaan PH teruskan projek ada kaitan 1MDB

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Kerajaan PH yang membuat keputusan meneruskan Projek Bandar Malaysia yang sebelum ini dikaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, kerajaan kini mengakui bahawa projek yang diilhamkan beliau sebelum ini bakal memberi impak besar kepada rakyat dan negara.

"Wow... PM (Perdana Menteri) ke-7 kata Projek 1MDB, Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion dan boleh mengukuhkan nilai ringgit memberi impak yang besar ke atas ekonomi Malaysia dan bakal menjadi hab global untuk menarik lebih banyak kewangan global, teknologi dan firma keusahawanan berimpak tinggi.

"Menteri Kewayangan (Kewangan) pula kata projek 1MDB TRX (Tun Razak Exchange) bernilai RM40 bilion dan antara aset negara terbesar negara.

"Tiba-tiba, hutang RM30 bilion 1MDB tidak akan bankrapkan negara dan bukan lagi beban untuk generasi-generasi akan datang.

"Tiba-tiba, 1MDB akan menjana keuntungan sangat besar dan memberi manfaat ekonomi dan menjamin masa depan untuk negara," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, menerusi hasil usahanya, 1MDB pada tahun 2012 telah berjaya menyelamatkan negara menerusi penyelesaian perjanjian penjana kuasa besar berat sebelah sebanyak RM400 juta.

"Belum ambil kira Pangkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sendayan yang amat besar, Pangkalan baru Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Subang dan enam lagi pangkalan TUDM yang dinaik taraf kerana 1MDB.

Artikel Berkaitan:

"Belum termasuk perjanjian penyelesaian dengan IPIC untuk mendapat balik semua wang yang dikatakan hilang setelah dihantar kepada mereka.

"Ribuan umat Islam yang dihantar oleh 1MDB untuk menunaikan ibadah haji serta anak-anak muda yang mendapat biasiswa dari 1MDB lebih faham," ujarnya.

Najib mengakhiri tulisannya dengan mengatakan beliau sudah reda dengan apa yang berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!