Pesara polis maut, bertembung kereta dipandu lelaki lalok

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang pesara polis maut selepas Perodua Ativa dinaiki bersama ahli keluarganya bertembung kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah dalam kejadian di Kilometer (KM) 66 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Sungai Lakit, di sini malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian yang mengorbankan Adam Mat Hasan, 63, seorang pesara polis berpangkat sarjan itu berlaku kira-kira jam 8 malam.

Choon Foo berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan Toyota Vellfire.

"Proton Saga itu kemudiannya telah bertembung dengan Perodua Ativa dipandu anak mangsa yang berada di belakang Toyota Vellfire tersebut.

"Akibat daripada pertembungan tersebut menyebabkan Adam iaitu penumpang belakang Perodua Ativa maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Che Romayni Che Ismail cedera di hidung dan anak perempuannya, Nurul Qurratul Ain Nazifa cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Choon Foo berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, isteri dan anaknya turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

"Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati pemandu Proton Saga positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

"Lelaki itu yang turut cedera di kaki telah ditahan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu semasa berada di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!