Banjir: Enam keluarga sedia pindah jika diberi tanah
RANTAU PANJANG - Enam keluarga di Kampung Bendang Perol di sini yang sering menjadi mangsa banjir sedia berpindah jika diberikan tanah rizab oleh kerajaan negeri.
Kesanggupan mereka ekoran tidak sanggup berdepan dengan banjir dan banjir termenung yang terlalu lama selain sering menjadi orang pertama serta terakhir berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mangsa banjir, Abdul Majib Ahmad, 57, berkata, mereka semua menetap di kawasan tersebut sejak 25 tahun lalu di atas tanah peninggalan orang tua.
"Kami sudah tiada tempat untuk berpindah. Hendak menyewa kami tidak mampu.
"Jika kerajaan negeri sudi pindahkan kami. Itu jalan terbaik kerana kami sudah tidak sanggup berdepan dengan banjir termenung yang lama serta berulang kali," katanya kepada pemberita.
Abdul Majib yang tidak bekerja kerana masalah jantung berkata, ketika banjir 5 Februari lalu mereka berada di PPS selama enam hari sedangkan cuaca baik.
Sementara itu, Mek Yam Ahmad, 80, memberitahu, struktur rumahnya mengalami kerosakan disebabkan terlalu lama ditenggelami air.
"Dinding tandas runtuh, papan reput dan keadaannya semakin teruk.
"Setahun empat kali kami berpindah ke PPS. Dengan keadaan kesihatan saya yang semakin merosot ini, sukar untuk lalui semua itu terutama bila perlu meredah air yang dalam," katanya.
Bagi buruh, Yusof Setapa, 48, menambah, selagi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok belum selesai mereka akan terus melalui fasa tersebut.
Ujarnya, jika ia siap sekalipun belum tentu dapat mengubah keadaan yang sedang berlaku di kawasan tersebut kerana sebelum ini banjir termenung tidak pernah berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!