Nurul Izzah dipelawa ketuai bersama sekretariat penasihat kewangan

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara lain, berperanan utama menasihati menteri mengenai cara dan sumber untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Dalam kenyataan pada Ahad, Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, Jawatankuasa Penasihat itu juga akan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.

Beliau berkata, Jawatankuasa Penasihat juga akan memberi nasihat mengenai perkara berhubung syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan mana yang sesuai, selain perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

"Jawatankuasa Penasihat melapor terus kepada Menteri Kewangan, dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung kepada keperluan,” katanya.

Beliau berkata, sebuah sekretariat yang akan menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat telah dibentuk dan terletak di Menara Berkembar Petronas di sini.

Mohd Hassan atas kapasitinya sebagai pengerusi jawatankuasa itu juga telah mempelawa Nurul Izzah Anwar untuk mengetuai sekretariat itu secara bersama dengan Khairil Anuar Ramli.

Beliau berkata, Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulung pada Jumaat 10 Feb, 2023.

Mesyuarat itu dipengerusikan Mohd Hassan Marican yang juga Penasihat Petronas dan dihadiri oleh ahlinya yang lain iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Datuk Dr Rajah Rasiah; dan Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!