Bantahan awal petisyen PRU15 Parlimen Marang ditolak

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Ahad mengarahkan Abdul Hadi membayar kos perundangan RM20,000 kepada pihak pempetisyen. - Foto fail Bernama
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Ahad mengarahkan Abdul Hadi membayar kos perundangan RM20,000 kepada pihak pempetisyen. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani mendengar hujahan daripada Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Abdul Hadi dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira sebagai pempetisyen secara dalam talian pada Ahad.

Menurut Wan Rohimi, mahkamah mengarahkan Abdul Hadi membayar kos perundangan RM20,000 kepada pihak pempetisyen.

“Bantahan awal ditolak dan plantif perlu membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

"Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan penuh kes itu bermula 6 hingga 21 Mac depan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Sementara itu, peguam yang mewakili UMNO Terengganu, Amin Othman berkata, hakim menolak semua alasan permohonan bantahan awal yang dikemukakan PN.

Katanya, ia termasuk alasan tempoh had masa bagi failkan petisyen seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Semua alasan ditolak hakim Mahkamah Pilihan Raya biarpun sebelum ini mahkamah menolak permohonan petisyen Parlimen Masjid Tanah. Tetapi untuk Parlimen Marang, hakim tidak terima (bantahan awal petisyen)," katanya.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini berkata, petisyen itu difailkan atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022 iaitu beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

PRU15 lalu menyaksikan Abdul Hadi mendapat 73,115 undi sekali gus memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira yang memperoleh 31,386 undi manakala Azhar Abdul Shukur (PH) mendapat 4,140 undi dan Zarawi Sulong (Pejuang) 427 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!