Disangka wayar, rupanya tedung selar
PASIR PUTEH - Seorang wanita di Kampung Jeram di sini tidak menyangka segulung wayar yang dilihatnya merupakan seekor tedung selar sepanjang empat meter pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 7.16 malam itu, wanita berkenaan telah terpegang 'wayar' yang terletak di belakang televisyen di rumahnya sebelum menyedari ia seekor ular seberat 7 kilogram.
Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, tindakan tersebut menyebabkan reptilia itu telah bergerak ke bahagian bawah sofa ruang tamu.
"Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota terus meninjau keadaan ular tersebut dan mendapati saiznya agak besar dan agresif.
"Kami dengan berhati-hati telah mengalihkan sofa yang berdekatan untuk memudahkah kerja menjerut," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular tedung selar tersebut dan mengeluarkannya dari rumah.
Ujarnya, APM Pasir Puteh menasihatkan orang ramai supaya waspada dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya reptilia itu 'menceroboh' masuk ke dalam rumah.
"Hubungi segera pihak kami untuk mendapatkan bantuan bagi mengendalikan reptilia berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!